Pendahuluan Asal Usul.
Asal
usul orang-orang Melayu, iaitu penutur asli bahasa Melayu, amat kabur
kerana sejarah kuno Asia Tenggara masih belum diselidiki dengan
mendalam. Walau bagaimanapun, kita dapat mengetahui secara kasar latar
belakang dan pergerakan masyarakat Melayu kuno, iaitu nenek moyang kita.
Beberapa
teori telah menyatakan bahawa penutur-penutur bahasa Melayu berasal
daripada golongan manusia yang diberi nama Austronesia. Mereka datang
dari daerah Yunan dan telah turun, dalam bentuk beberapa gelombang
pergerakan manusia, dan menduduki wilayah Asia Tenggara. Ini berlaku
sejak tahun 2500 sebelum masihi, iaitu dengan kedatangan golongan
pertama yang disebut Melayu-Proto. Kemudian, kira-kira dalam tahun 1500
sebelum masihi, datang pula gelombang kedua golongan yang disebut
Melayu-Deutro. Mereka ini elah menduduki daerah pantai dan tanah lembah
di Asia Tenggara, dan telah memperlihatkan kepandaian belayar dan
bercucuk tanam.
Oleh
sebab masyarakat Austronesia tersebar luas di seluruh kepulauan Melayu
dan Lautan Pasifik, maka berkembanglah tiap-tiap bahasa di daerah
masing-masing. Walau bagaimanapun, di antara bahasa-bahasa yang
berlainan hari ini masih dapat dilihat unsur-unsur persamaan. Bahasa
Austronesia adalah satu rumpun bahasa yang tergolong ke dalam satu
keluarga bahasa besar yang bernama keluarga bahasa-bahasa Austris. Di
samping rumpun Austronesia, terdapat dua rumpun yang lain dalam keluarga
ini, iaitu bahasa-bahasa Austroasia dan Tibet-Cina.
Rumpun
bahasa Austronesia pula terbahagi kepada empat cabang, iaitu
bahasa-bahasa di Kepulauan Melayu (atau Nusantara), bahasa-bahasa
Polinesia, antaranya bahasa-bahasa Hawaii, Tonga dan Maori,
bahasa-bahasa Melanesia, antaranya bahasa-bahasa di kepulauan Fiji, New
Kaledonia dan Irian, dan bahasa-bahasa Mikronesia, antaranya
bahasa-bahasa di kepulauan-kepulauan Mariana, Marshall, Carolina dan
Gilbert. Secara rajah cabang-cabang rumpun bahasa Austronesia adalah
seperti berikut:
Bahasa
Melayu tergolong ke dalam cabang Nusantara dalam kelurga Austronesia.
Cabang Nusantara mempunyai jumlah bahasa yang paling banyak, iaitu
kira-kira 200-300. Oleh yang demikian bahasa-bahasa ini dapat pula
dibahagikan kepada golongan-golongan tertentu, seperti yang berikut:
- Golongan Filipina, antaranya: Tagalog, Ikolo, Bikol, Bisaya, Sulu, Palau, dan Tombulu.
- Golongan Sumatera, antaranya; Aceh, bahasa-bahasa Batak (Karo, Toba, angkolo-Mendailing, dan lain-lain), Minangkabau, Melayu Nias, Lampung, dan Orang Laut.
- Golongan Jawa, ialah: Sunda, Jawa, dan Madura.
- Golongan Kalimantan, antaranya: Iban, Kenyah-Kayan, dan Melanau.
- Golongan Bali-Sasak, iaitu: Bali, Sasak, dan Sumbawa.
- Golongan Gorontalo, antaranya: Bulanga, Kaidipan, Gorontalo, dan Buol.
- Golongan Tomini
- Golongan Toraja, antaranya: Kaili, Bare’e, dan Wotu.
- Golongan Loinang, antaranya: Loinan dan Banggai
- Golongan Bunku-Laki, antaranya: Laki, Landawe, Mori, dan Mapute.
- Golongan Sulawesi Selatan, antaranya: Makasar, Bugis, dan Seko.
- Golongan Muna-Butung, antaranya: MUna-Butung, Butung Selatan, Kerompa, dan Wolio.
- Golongan Bima-Sumba, antaranya: Bima, Manggarai, Sumba Barat dan Sumba Timur.
- Golongan Ambon-Timur, antaranya: Kro’e, Alor, Roti, Wetar, Bura, Goram, dan Bandar.
- Golongan Sula-Bacon, antaranya: dialek-dialek Taliabo, dialek-dialek Sula, dan bahasa Bacon.
- Golongan Halmahera Selatan-Irian Jaya, antaranya: Halmahera Selatan, Nufur, dan Kowiai.
1.1 Bahasa Melayu Kuno
Daripada
kenyataan di atas, kelihatan bahawa bahasa Melayu adalah satu daripada
200 bahasa dalam cabang Nusantara keluarga bahasa Austronesia. Bilangan
penutur asalnya sederhana, iaitu yang tinggal di sekitar Semenanjung
Tanah Melayu, kepulauan Riau dan di Sumatera. Tetapi sejarah telah
membuktikan bahawa bahasa Melayu telah menjadi Lingua franca (bahasa
perantaraan) daerah kepulauan Melayu sejak zaman berzaman. Bahasa ini
digunakan sebagai bahasa perhubungan antara orang-orang yang tinggal di
kepulauan Melayu dan oleh orang-orang yang mendatang, seperti
pedagang-pedagang dari Eropah dan Asia Barat, dan pengembara-pengembara
dari India dan China. Untuk melihat perkembangan bahasa Melayu, marilah
kita tinjau keadaanya dari tarikh yang paling awal.
Seperti
yang disebutkan di atas, sejarah awal kepulauan Melayu agak kabur.
Tidak banyak diketahui tentang masyarakat dan bahasa orang-orang
Austronesia yang datang menduduki daerah ini. Bahan-bahan sejarah yang
menceritakan kemunculan beberapa kerajaan penting, terutamanya
kerajaan-kerajaan Hindu, sejak dari abad pertama tahun masihi. Oleh
sebab pengaruh dari India, terutamanya agama Hindu, maka bahasa
Sanskrit, iaitu bahasa agama Hindu dan bahasa kelas atasan, digunakan
dengan luasnya. Mengikut Ismail Hussein (1966:10-11), “melalui pengaruh
bahasa Sanskrit bahasa Melayu mengalami evolusinya yang pertama… Dari
bahasa masyarakat yang agak rendah kebudayaan serta ilmu pengetahuannya,
bahasa Melayu mengalami perubahan pertama ke arah bahasa sarjana, yang
sanggup menyampaikan idea-idea baru yang tinggi-tinggi”.
Pengaruh
utama ialah dari segi perbendaharaan kata. Banyak perkataan baharu
diterima masuk ke dalam bahasa Melayu, iaitu perkataan-perkataan yang
menyatakan aspek-aspek kebudayaan dari India dan hal-hal yang belum
dialami oleh kaum bumiputera, yang meliputi bidang-bidang seperti: nama
bahagian tubuh, barang perdagangan, alat perkakas, nama binatang,
tumbuh-tumbuhan dan senjata, perkataan-perkataan agama,ilmu pengetahuan
dan berbagai-bagai lagi. Antara contohnya: nama tubuh badan- bahu,
kepala,muka, dan rupa; barang perdagangan- neraca, laba, kedai, dan
kodi; alat perkakas- bajan, pili, jala. Penjara, dan sutera; ilmu
pengetahuan- guru, pujangga, bahasa, sastera, dan bijaksana; nama
binatang- gajah, singa, serigala, angsa, dan kuda; tumbuh-tumbuhan-biji,
cempaka, cendana, delima, dan kasturi; senjata- cemeti, sauku(cambuk),
dan sena (tentera); perkataan agama-dosa, surga (syurga), neraka, agama
dan puasa.
Perlu
ditimbulkan di sini bahawa berkesannya pengaruh bahasa Sanskrit ke atas
bahasa Melayu adalah kerana sifat bahasa Melayu yang sederhana, dan
dapat dibentuk, dan dilentur untuk disesuaikan dengan segaa keadaan, dan
keperluan. Bahkan jika ditinjau dari sudut sejarah perkembangan bahasa
Melayu selanjutnya, inilah satu-satunya faktor utama yang telah
menjadikannya satu bahasa yang mudah dipelajari, dan diterima sebagai
bahasa perhubungan oleh orang-orang dsri berbagai-bagai masyarakat
bahasa.
Istilah
“Melayu” itu sangat baharu dijumpai daripada kesan-kesan sejarah.
Istilah ini timbul buat pertama kalinya dalam tulisan Cina dalam tahun
antara 644 dan 645 masihi. Tulisan itu menyebut orang Mo-lo-yeu yang
mengirim utusan ke negeri China untuk mempersembahkan hasil-hasil bumi
kepada raja China. Letaknya kerajaan Mo-lo-yeu ini tidak dapat
dipastikan dengan tegas: ada yang menyatakan di Semenanjung Tanah Melayu
dan ada mengatakan di Jambi, Sumetera. Walau bagaimanapun, sejarah
menyatakan bahawa terdapat satu kerajaan Melayu yang menggunakan bahasa
Melayu sebagai bahasa pemerintahan walaupun bukti yang konkrit tentang
bentuk atau tulisannya belum dijumpai lagi.
Bukti
konkrit yang pertama tentang bentuk dan sifat bahasa Melayu hanya
terdapat sejak tahun 683, dengan terjumpanya beberapa batu bersurat yang
mengandungi bahan-bahan bertulis yang mengikut setengah-setengah
pendapat ditulis dalam bahasa, yang bentuk. Dan susunannya dapat
dikatakan bahasa Melayu. Dan inilah suatu bukti catatan yang tertua
sekali tentang bahasa Melayu itu.
1.2 Bahasa Melayu pada Batu-batu Bersurat Abad Ketujuh.
Batu-batu
bersurat bukanlah satu perkara yang baru dijumpai di daerah kepulauan
Melayu. Bekas-bekas tulisan telah dijumpai dan dipercayai bertarikh
sejak tahun450 masihi, iaitu yang dijumpai di kaki-kaki gunung dekat
Bogor dan di daerah Tanjung Periu dekat Jakarta. Teapi tulisan-tulisan
pada batu tersebut didapati sama ada dalam bahasa Jawa Kuno atau
Sanskrit.
Batu-batu
bersurat yang menggunakan bahasa Melayu ialah yang dipercayai ditulis
pada kira-kira abad ketujuh. Terdapat sebanyak empat batu bersurat yang
penting, iaitu yang dijumpai:
1. di Kedukan Bukit, Palembang, (683 M)
2. di Talanh Tuwo, juga dekat Palembang, (684 M)
3. di Kota Kapur, Pulau Bangka, (686 M)
4. di Karang Brahi, Meringin, daerah hulu Jambi, (686 M).
1.3 Bahasa Melayu pada Zaman Kerajaan Sriwijaya
Apabila
diperhatikan, tarikh dan isi kandungan batu-batu bersurat yang tersebut
di atas dapat dikaitkan dengan zaman kerajaan Sriwijaya. Tarikh 683,684
dan 686 yang tercatat pada batu-batu tersebut amat penting kerana ini
merupakan tarikh mula naiknya Kerajaan Sriwijaya, sebuah kerajaan
tempatan yang kemudiannya berkembang luas mempengaruhi hampir seluruh
kepulauan Melayu. Keempat-empat batu bersurat itu dijumpai di pusat
kerajaan Sriwijaya dan isinya jelas menunjukkan bahawa tulisan itu
dibuat di atas perintah raja. Dengan demikian, ini membuktikan bahawa
bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa kebangsan sebuah kerajaan
yang besar dan luas jajahan takluknya yang pada saat kegemilangannya
meliputi Sumatera, Jawa, Semenanjung Tanah Melayu, Tanah Genting Kera,
dan Sri Lanka.
Hakikat
kewujudan bahasa Melayu disokong dengan sumber daripada tulisan
pengembara-pengembara Cina, yang telah singgah di kawasan ini di dalam
pengembaraan mereka ke India. Berdasarkan sumber ini A. Teeuw (1952)
telah menulis, “Maka dapatlah kita anggap sebagai satu hal yang pasti
bahawa bahasa Melayu sudah dalam abad-abad berikutnya, dapat dan memang
dipakai sebagai bahasa pengantar kebudayaan, sedang dalam hal-hal
tertentu dipergunakan juga bahasa itu untuk keperluan sedemikian di
dalam daerah-daerah yang bukan masuk daerah bahasa Melayu yang
sesungguhnya”.
1.4 Bahasa Melayu dalam Zaman Melaka dan Selepasnya.
Zaman
yang penting bagi bahasa Melayu ialah zaman Kerajaan Melaka, iaitu
zaman keagungan kerajaan Melayu. Keagungan kerajaan Melayu Melaka jelas
tergambar dalam Sejarah Melayu, satu-satunya magnum opus yang
mengharumkan serta meletakkan imej bahasa Melayu ke mercu yang amat
tinggi. Zaman ini bermula pada abad ketiga belas yang merupakan zaman
peralihan bagi daerah Asia Tenggara secara keseluruhannya.
Pada
masa itu, agama Islam mua bertapak, serentak dengan kebangkitan
kerajaan Melayu Melaka. Percantuman dua semangat baharu membawa erti
yang besar bagi masyarakat wilayah ini. Bahasa Melayu menjadi alat
penyebaran agama Islam, satu agama yang tinggi darjah kebudayaannya.
Ini
dijalankan dengan mudahnya melalui pengaruh politik Melayu pada masa
itu. Hasil daripada faktor-faktor ini ialah perkembangan yang berlaku
pada bahasa Melayu itu sendiri; bahasa Melayu mendapat satu bentuk
tulisan baharu, iaitu tulisan Jawi. Perbendaharaan katanya bertambah
dengan pesatnya, iaitu terbit daripada keperluan untuk memperkatakan
idea-idea baharu yang dibawa oleh peradaban Islam. Yang paling penting
ialah perkembangan bahasa Melayu dalam bidang kesusasteraan, bidang
penggunaan bahasa sebagai alat penyampaian seni
Berapakah jenis bahasa yang dituturkan di kepulauan melayu?
ReplyDelete