Sunday, 21 April 2013

Kesalahan Tatabahasa - Kata Ganti Nama



KATA GANTI NAMA DIRI
 
 a. Ketidaksesuaian penggunaan kata ganti nama diri mengikut kedudukan seseorang, suasana
     ketika bercakap, hubungan seseorang yang lain ketika sedang berkata – kata:
 
      Encik James pengurus di sini. Sekarang ini dia sedang berkursus di Singapura ( X )
      Encik James pengurus di sini. Sekarang ini beliau sedang berkursus di Singapura ( / )
 
 
b. Kata ganti nama diri bentuk jamak tidak boleh digandakan;
 
      “Marilah kita sertai mereka – mereka yang baru datang itu,” kata Salina ( X )
      “Marilah kita sertai mereka yang baru datang itu,” kata Salina ( / )
 
  
 c. Kata ganti nama diri mereka dan ia tidak boleh digunakan untuk merujuk kepada binatang, benda
     dan perkara/konsep;

      Si Hitam sangat lembut bulunya. Ia juga berwarna menarik ( X )
      Si hitam sangat lembut bulunya dan berwarna menarik ( / )


 d. Kata ganti nama diri ketiga ia tidak boleh bertugas sebagai objek kepada kata sendi atau kata
     kerja transitif;

     Saya berasa seronok dapat berkawan dengan ia . ( X )
     Saya berasa seronok dapat berkawan dengannya ( / )

 
 e. Kata ganti nama diri ketiga ia tidak boleh bertugas sebagai kata nama pelaku dalam ayat pasif diri
     ketiga;

     Beg ia telah diselongkar ketika bersenam di padang. ( X )
     Begnya telah diselongkar ketika bersenam di padang ( / )
 
   
 f. Kata ganti diri ketiga ia dan nya tidak boleh digabungkan menjadi ianya;
 
     Penagihan dadah di kalangan pelajar perlu dibanteras segera kerana bimbang ianya kian menular. ( X )
     Penagihan dadah di kalangan pelajar perlu dibanteras segera kerana bimbang kian menular. ( / )


 g. Kata ganti nama diri daku dan dikau tidak boleh digunakan sebagai objek kecuali pada kata kerja
     transitif atau kata sendi yang berakhir dengan huruf ‘n’;

     Ibuku sungguh tertarik hati kepada dikau kerana pekertimu itu. ( X )
     Ibuku sungguh tertarik hati akan dikau dengan pekertimu itu ( / )


 h. Kata ganti nama diri singkat iaiti kau, ku, mu dan nya tidak boleh dieja berasingan dengan kata
     lain yang menyertainya;

     “Tolong kau ambilkan aku segelas air” kata Sri. ( X )
     ‘Tolong kauambilkan aku segelas air” kata Sri ( / )
   

 KATA GANTI NAMA TANYA

 
 a. Kata ganti nama tanya apa dan siapa tidak boleh digunakan sewenang – wenangnya. Apa
     digunakan untuk menanyakan benda, perkara atau binatang manakala siapa pula hanya
     digunakan untuk merujuk kepada manusia;
 
      Nama anjing awak siapa? ( X )
      Nama anjing awak apa? ( / )
 
 
 b. Jika berfungsi sebagai subjek ayat, kata ganti nama tanya perlu menerima partikel –kah
     selepasnya. Kata ganti nama tanya tidak memerlukan partikel –kah jika berperanan sebagai
     predikat ayat;
 
      Berapa yang telah awak berikan kepada Ramli? ( X )
      Berapakah yang telah awak berikan kepada Ramli? ( / )


KATA GANTI NAMA TAK TENTU
 
 a. Menyalahgunakan kata ganti nama tanya dalam konteks ayat yang menunjukkan sesuatu secara
     tidak pasti atau tidak tentu.
 
      Mereka berpura–pura seolah–olah tidak melihat apa pun untuk mengelakkan diri daripada menjadi
      saksi ( X )
      Mereka berpura–pura seolah–olah tidak melihat apa–apa pun untuk mengelakkan diri daripada
      menjadi saksi ( / ) 
 
 b. Kata ganti nama tak tentu tidak boleh diikuti oleh partikel –kah apabila bertugas sebagai subjek
     dalam binaan ayat songsang dan tidak menggunakan tanda soal (?) di akhir ayatnya;
 
      “Adakah kakak dengar apa – apakah berita malam tadi?” kata Kalsom ( X )
      “Adakah kakak dengar apa – apa berita malam tadi?” kata Kalsom ( / )

No comments:

Post a Comment

Boleh tinggalkan komen disini untuk penambahbaikan !